PESANAN

SILA KLIK "JOINT THIS SITE" DI BAWAH DAHULU SEBELUM MENGAMBIL, MENCIPLAK DAN MENCETAK BAHAN2 NOTA DALAM BLOG INI. SEBARANG PERTANYAAN BOLEH BERHUBUNG DGN SAYA EMAIL : abjipkb@yahoo.com @ FB: Azizi Cyberspot

SILA ADD FOLOW DI BAWAH SEBELUM MENGAMBIL NOTA

Tuesday, 22 November 2011

Pendidikan di Malaysia

SEJARAH MALAYSIA

PENDAHULUAN

Sistem pendidikan di Malaysia sebelum merdeka boleh dibahagikan kepada empat peringkat. Peringkat pertama ialah sistem pendidikan sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu. Peringkat kedua ialah sistem pendidikan semasa perjajahan British,bermula dari Francis Light memperoleh Pulau Pinang pada tahun 1786 hingga menjelang Perang Dunia Kedua. Peringkat ketiga pula bermula dari tempoh pembentukan Malayan Union pada tahun 1946 hingga Semenanjung Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Peringkat keempat ialah sistem pendidikan awal kemerdekaan, iaitu di antara tempoh selepas Merdeka hingga pembetukan Malaysia pada tahun 1963. Untuk meninjau serta memahami sistem pendidikan kita dalam keempat-empat peringkat itu, kita hendaklah terlebih dahulu mengkaji serta memahami sejarah perkembangan politik dan ekonomi Malaysia serta latar belakang keturunan berbilang kaum, terutama bangsa-bangsa Melayu, Cina dan India yang banyak terlibat dalam pembetukan sistem pendidikan di Malaysia dengan ciri-ciri tersendiri.

SEJARAH PERKEMBANGAN POLITIK DITANAH MELAYU

Kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia yang awal sekali ialah didirikan di Kedah kira-kira pada kurun ke-7. Pada masa itu, negeri Kedah dikenali dengan panggilan Langkasuka dan semua rakyatnya beragama Buddha.Pada kurun ke-9, sebuah negeri bernama Sri Vijaya menakluki Langkasuka, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Pada kurun ke-13, pelayar-pelayar dari Palembang mula bertapak di Singapura dan mendirikan sebuah kerajaan Temasek di pulau itu. Kira-kira pada kurun ke-14, sebuah negeri Hindu bernama Majapahit di Jawa menakluki Temasek. Parameswara, seorang putera berasal dari Palembang dan pemerintah di Temasek pada ketika itu, melarikan diri dengan pengikut-pengikutnya ke Melaka dan mendirikan kerajaannya di negeri itu.

Parameswara memeluk agama Islam pada tahun 1416 Masehi dan selepas itu, pengaruh agama Islam dikembangkan dari Melaka ke tempat-tempat lain di Tanah Melayu. Pada kurun ke-15, Brunei juga menjadi sebuah negeri yang beragama Islam.

Pada tahun 1511, Albuquerque dari Portugal menakluki Melaka, dan membawa agama Kristian bersamanya ke Melaka. Pada tahun 1641, orang-orang Belanda menghalau orang Portugis dari Melaka. Bagaimanapun, pengaruh Belanda hanya dihadkan di negeri Melaka sahaja. Kerajaan Melayu di Riau-Johor masih cukup kuat untuk menentang kemasukan pengaruh Belanda ke Tanah Melayu. Pada kurun ke-18, Kedah,Kelantan dan Terengganu adalah negeri- negeri di bawah perlindungan negeri Siam. Orang Bugis mula menetap di negeri Selangor pada tahun 1743, sedangkan orang Minangkabau mula menetap di Negeri Sembilan pada tahun 1773.

Pada tahun 1786, Francis Light, memperoleh Pulau Pinang daripada Sultan Kedah yang berharap dapat perlindungan daripada tentera British pada ketika itu, untuk menentang kuasa kerajaan Siam. Apabila Sultan Kedah menyedari bahawa Francis Light enggan menepati janjinya dengan menolong Kedah daripada pencabulan askar Siam, baginda cuba merampas balik Pulau Pinang dari tangan British, tetapi tidak berjaya. Pada tahun 1795, tentera British merebut Melaka daripada orang Belanda. Bagaimanapun, pedagang-pedagang dari Barat suka menggunakan Jawa, yang pada masa itu diperintah oleh Belanda, sebagai tempat pertukaran barang-barang. Untuk menarik pedagang-pedagang dari Jawa,Thomas Stamford Raffles memperoleh Singapura daripada Sultan Johor pada tahun 1819. Pada tahun 1826, Pulau Pinang, Melaka dan Singapura menjadi Negeri-negeri Selat yang diperintah oleh Syarikat India Timur dari India. Pada tahun 1867, kuasa pentadbirannya diserahkan kepada Pejabat Jajahan Britain.

Sebelum tahun 1873, penjajah British mengamalkan polisi tak campurtangan terhadap hal pentadbiran negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu. Pada tahun 1874, penjajah British dijemput oleh Raja Abdullah dari negeri Perak untuk menolongnya merebut takhta negeri Perak. Mengikut perjanjian Pangkor, Raja Abdullah bersetuju menerima seorang Residen British sebagai penasihat dalam segala hal pentadbiran negeri, kecuali adat Melayu dan agama.

Sejak Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada tahun 1874, British dapat peluang mengembang pengaruhnya dari negeri Perak ke negeri-negeri Melayu yang lain dengan alasan menolong negeri-negeri itu menamatkan perang saudara diantara puak Melayu. Pada tahun 1874 juga, Tengku Kudin dari Selangor menerima seorang Residen British sebagai penasihatnya. Pada tahun 1888, penjajah British melantik seorang Residen untuk negeri Pahang dan pada tahun 1895, Negeri Sembilan pula menerima seorang Residen British sebagai Penasihat negerinya.

Pada tahun 1896, Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang bergabung bersama dan menjadi Negeri-Negeri Bersekutu di bawah pentadbiran seorang Residen-Jeneral. Seterusnya, penjajah British mengembangkan pemerintahannya ke negeri-negeri yang lain. Pada tahun 1885, negeri Johor bersetuju menerima perlindungan daripada British. Mengikut perjanjian Bangkok pada tahun 1909,Kerajaan Siam bersetuju menyerahkan negeri Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu kepada penjajah British dan bersama-sama Negeri Johor menjadi Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu. Tiap-tiap negeri juga menerima Residen British masing-masing sebagai penasihat pentadbiran negeri mereka.

Selain daripada mengukuhkan kedudukanya di Semenanjung penjajah British juga mengembangkan pengaruhnya di Negeri Borneo. Pada tahun 1840, James Brooke mengambil peluang menyelamatkan seorang wizurai Sultan Brunei daripada peberontakan orang Melayudan orang Dayak di Sarawak. Sebagai penghargaan, Sultan Brunei melantik James Brooke sebagai Raja Sarawak.

Pada tahun 1878, Sultan Sulu dari Filipina juga menyerahkan Borneo Utara kepada penjajah British. Kemudian, pada tahun 1888, Sarawak, Borneo Utara dan Brunei menjadi negeri-negeri di bawah naungan British.

Semasa Perang Dunia Kedua, penjajah British di Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo telah diusir keluar oleh tentera Jepun yang seterusnya menduduki negeri-negeri tersebut selama tiga tahun lebih. Selepas tentera Jepun kalah pada tahun 1945, pentadbiran Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo dikembalikan kedudukannya, penjajah British mencadangkan pembentukan Melayan Union untuk menggantikan sistem pentadbiran sebelum kedatangan tentera Jepun yang lalu. Bagaimanapun,cadangan itu ditentang kuat oleh Dato Onn bin Jaafar. Penentangan Dato Onn bin Jaafar juga mendapat sokongan daripada Sultan-Sultan di negeri-negeri Tanah Melayu. Akibatnya, idea pembentukan Malayan Union dimansuhkan dan sebaliknya digantikan dengan perjanjian pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang akhirnya ditandatangani oleh semua pihak berkuasa pada tahun 1948. Di bawah perjanjian itu, semua negeri di Tanah Melayu diperintah oleh sebuah kerajaan pusat. Hak-hak orang Tanah Melayu dan kuasa Sultan di tiap-tiap negeri dilindungi dalam perjanjian itu. Selain daripada itu, orang Cina dan orang India boleh menjadi warganegara Persekutuan dengan syarat-syarat yang tertentu.

Pada masa itu, semangat untuk menuntut kemerdekaan telah berkobar luas di kalangan rakyat. Beberapa parti politik telah ditubuhkan dengan tujuan berjuang untuk kemerdekaan. Pada tahun 1955, Parti Perikatan,gabungan parti UMNO,MCA danMIC, yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman memenangi 50 buah kerusi daripada 51 buah kerusi dalam pilihanraya yang pertama. Dengan kemenangan yang besar itu,Tunku Abdul Rahman dan rombongannya menemui Setiausaha Jajahan di London untuk menuntut kemerdekaan. Selepas beberapa penemuan dan perundingan, Persekutuan Tanah Melayu, Malaya, akhirnya mencapai kemerdekaan pada 31hb. Ogos, 1957.

Pada masa yang sama Singapura, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara masih di bawah pemerintahan British. Pada tahun 1961, Tunku Abdul Rahman, ketika menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, mengemukakan cadangan supaya Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah bersekutu dengan Persekutuan Tanah Melayu supaya membentuk sebuah negara Malaysia. Akibat cadangan beliau itu, beberapa rundingan diadakan di antara pemimpin-pemimpin negeri yang berkenaan, diikuti dengan pungutan suara daripada rakyat Singapura, Sarawak dan Sabah serta dengan persetujuan kerajaan British menyerah kuasanya, Malaysia akhirnya dapat dibentuk pada tahun 1963. Bagaimanapun, kerana perselisihan dengan pemimpin-pemimpin daripada Semenanjung Malaysia, Singapura menarik diri Malaysia selepas dua tahun kemudian dan menjadi sebuah Republik.

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN SEBELUM MERDEKA (1400-1956)

Sistem pendidikan sebelum kemerdekaan boleh dibahagikan kepada dua peringkat yang utama, iaitu sistem pendidikan sebelum kedatangan British (1400-1956) dan sistem pendidikan semasa penjajahan British (1786-1956).

Dalam bab ini, kita terlebih dahulu akan bincangkan secara ringkas jenis sekolah dan matlamatnya dalam sistem pendidikan sebelum kedatangan British. Manakala, bagi sistem pendidikan semasa penjajahan British, perbincangan akan ditumpukan kepada struktur pendidikan semasa penjajahan British, pemikiran dan tujuan sebalik pendidikannya serta kesan-kesan sistem pendidikan semasa penjajah

SISTEM PENDIDIKAN DAN MATLAMATNYA SEBELUM KEDATANGAN BRITISH

(1400-1786)

Sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu, sistem pendidikan orang Melayu adalah berlandaskan semata-mata kepada pelajaran kitab suci al- Quran. Kanak-kanak Melayu pada masa itu biasanya mengkaji ayat-ayat Quran daripada imam di surau atau masjid. Ada setengah-setengah murid belajar Quran daripada ulama yang menggunakan pondoknya sebagai bilik barjah. Mengikut Wilkinson :

Murid di pondok mula belajar perkataan-perkataan Arab dan selepas sudah menguasainya, mereka akan terus mempelajari dengan cara menghafaz huruf abjad Arab supaya menjadi sebagai panduan membaca doa dan teks Arab. Biasanya, mereka belajar tiga pelajaran sehari, setiap pelajaran mengambil masa satu jam. Pelajaran pertama biasanya dimulakan selepas sembahyang subuh; kedua, selepas sembahyang zuhur dan satu lagi selepas senja. Pada masa yang lain, murid akan menolong gurunya menguruskan hal-hal rumah dan bekerja di kebun atau sawah. Melalui kerja-kerja itu, murid-murid secara tidak langsung belajar kemahiran-kemahiran yang dikehendaki supaya dapat menjalankan kerja dalam kehidupan harian mereka. Sesungguhpun guru tidak menerima sebarang gaji daripada pengajarannya, ibubapa murid itu biasanya membekalkan tikar dan bantal, periuk dan beras untuk gurunya”

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, pendidikan masyarakat Melayupada zaman sebelum kedatangan British boleh dirumuskan bahawa aktiviti pelajaran mereka adalah terhad kepada membaca Quran, huruf abjad Arab, mengingat dan menghafaz doa serta mempelajari prinsip-prinsip agama Islam. Kanak-kanak hanya belajar sedikit Bahasa Melayu selepas mereka sudah menguasai dan boleh menghafaz ayat-ayat daripada kitab Quran. Pendidikan tradisi seperti ini merupakan pendidikan tak formal. Kukikulumnya terlalu sempit dan hanya terhad kepada pelajaran teks Quran sahaja. b dengan cara menghafaz sahaja, tanpa memahami apa-apa yang telah dipelajarinya. Hal ini adalah berkaitan rapat dengan sistem politik, ekonomi dan sosial yang sedia ada di Taman Melayu. Pada masa itu, organisasi masyarakat Melayu adalah kurang kompleks. Ramai orang Melayu bekerja sebagai petani atau nelayan. Mereka tidak pernah menghadapi masalah mencari nafkah, memandangkan tempat-tempat yang mereka tinggal didapati banyak tanah subur dan lautnya dipenuhi dengan ikan. Organisasi politik adalah mengikut sistem keturunan diraja yang jarang timbul masalah rebutan kuasa. Pada zaman itu, masyarakat Melayu pada keseluruhannya boleh dikatakan stabil dari segi pemerintahan. Jadi, tidak perlu bagi orang Melayu mempunyai banyak ilmu dan kemahiran yang khusus untuk menghadapi cabaran yang tidak ada. Apa yang mereka perlu pelajari ialah kemahiran membaca doa-doa daripada Quran supaya dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat Islam mereka. Pelajaran agama Islam merupakan pendidikan asas dalam pendidikan tradisional di Tanah Melayu.

Mengikut sejarah Melayu, diantara kurun ke-15 hingga ke-17, pendidikan agama Islam telah sedia ada di surau atau di masjid yang dibina dalam kampung-kampung orang Melayu. Guru-guru al-Quran biasanya terdiri daripada Tuan Imam kepada penduduk kampungnya.

Perkembangan pendidikan agama Islam dapat diperlihatkan bertambah maju apabila beberapa orang alim ulama seperti Sharif Muhamad, Syeikh Daud bin Abdullah dan Syeikh Abdul Khadir yang berhijrah dari Timur tengah ke Kuala Terengganu pada kurun ke-18. Kedatangan mereka telah memberi sumbangan besar terhadap perkembangan pendidikan agama Islam yang berteraskan pengajian al-Quran dan Hadis.

Sekolah pondok mula diperkenalkan oleh alim ulama tersebut pada awal kurun ke-19 di negeri-negeri Tanah Melayu seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah. Sekolah pondok ini merupakan satu institusi pendidikan agama Islam yang berasrama. Pada ketika itu , sistem pengajian pondok boleh dikatakan lebih mkemas dan maju daripada sistem pendidikan agama di surau atau di masjid. Pada umumnya, sekolah pondok ini adalah didirikan oleh penduduk kampung secara gotong royong dan diuruskan oleh alim ulama dengan secara sukarela. Mengikut kajian, mata pelajaran yang diajar pada masa itu ialah Tauhid, Tafsir, Fiqh, Hadis, Nahu, Saraf, Tasawufdan dan doa-doa serta Jawi dan bahasa Arab. Bahasa penghantar ialah bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...