PESANAN

SILA KLIK "JOINT THIS SITE" DI BAWAH DAHULU SEBELUM MENGAMBIL, MENCIPLAK DAN MENCETAK BAHAN2 NOTA DALAM BLOG INI. SEBARANG PERTANYAAN BOLEH BERHUBUNG DGN SAYA EMAIL : abjipkb@yahoo.com @ FB: Azizi Cyberspot

SILA ADD FOLOW DI BAWAH SEBELUM MENGAMBIL NOTA

Sunday, 18 December 2011

KOMPONEN 3 :PROFESIONALISME KEGURUAN

10.0 PEMBENTUKAN DAN PELAKSANAAN KURIKULUM BERSEPADU SEKOLAH RENDAH (KBSR)

Bab ini memberi gambaran mengenai pembentukan dan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Terlebih dahulu, kita akan mengkaji mengenai pembentukan dan perubahan dalam kurikulum pendidikan rendah yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), serta berasaskan penetapan matlamat dan objektif pada tahap persekolahan tersebut. Kemudian, kita akan membincangkan pula proses pelaksanaan yang merangkumi aspek-aspek seperti prinsip, struktur, bidang pelajaran, penekanan, strategi pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan penilaian. Akhir sekali, kita akan melihat implikasi KBSR terhadap sistem pendidikan negara.

10.1 Pembentukan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)

Tahukah anda tentang sejarah pembentukan KBSR? Untuk pengetahuan anda, pada tahun 1982, KBSR telah dilaksanakan secara percubaan di 305 buah sekolah di seluruh Malaysia. Kemudian pada tahun berikutnya (1983), pelaksanaan penuh dikuatkuasa di semua sekolah rendah. Pernahkan anda terfikir apakah perbezaan KBSR dengan kurikulum lama?

Menyorot kembali latarbelakang penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sepertimana yang dijelaskan dalam bab sebelum ini, Jawatankuasa Kabinet telah member perhatian serius kepada pembangunan kemanusiaan. Tindakan untuk menterjemahkan perkara tersebut telah menjelma dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah seperti yang ternyata dalam huraian matlamat pendidikan sekolah rendah di bawah:

“…matlamat pendidikan rendah adalah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika sosial.”

(Kurikulum Baru Sekolah Rendah, 1991:5)

Seiring dengan matlamat tersebut, maka objektif-objektif pendidikan peringkat rendah juga merangkumi aspek-aspek seperti yang dinyatakan. Supaya murid-murid dapat:

· Menguasai Bahasa Melayu selaras dengan kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita;

· Menguasai kemahiran asas berbahasa, iaitu bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa pengantar sekolah berkenaan;

· Menguasai kemahiran asas mengira dan menggunakannya dalam kehidupan harian;

· Kuasai kemahiran berfikir dan belajar;

· Kuasai kemahiran saintifik dan teknikal;

· Bertutur, membaca, menulis dan memahami Bahasa Inggeris sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kedua;

· Menimba pengetahuan dan berikhtiar untuk meluaskannya;

· Kuasai kemahiran membaca, menghafaz dan memahami pengertian ayat-ayat al-Quran bagi murid-murid islam;

· Kukuhkan asas keimanan, kerjakan amal ibadat dan amalkan akhlak mulia;

· Amalkan sikap dan perlakuan yang berpandukan nilai murni serta menjadikannya asas bagi amalan hidup;

· Menjaga kesihatan dan kecergasan diri;

· Bentukkan daya kepimpinan dan keyakinan diri;

· Memahami dan peka terhadap manusia dan persekitaran;

· Kembangkan bakat dan kreativiti;

· Memupuk semangat patriotisme;

· Menikmati dan sertai aktiviti-aktiviti amal, kesenian dan rekreasi dalam lingkungan kebudayaan nasional.

Dengan itu, maka pada akhir persekolahan rendah nanti, adalah diharapkan agar murid-murid dapat menggunakan kemahiran bahasa dan matematik untuk berfikir, berkomunikasi dan menyelesaikan masalah. Selain itu, mereka juga akan dapat berfikir secara logik serta memahami isu-isu kemasyarakatan dan negara. Peluang-peluang juga disediakan untuk murid-murid mengembangkan potensi, bakat, minat dan daya kreatif mereka melalui muzik, lukisan dan penulisan.

Perubahan dalam KBSR

Namun pada tahun 1988, KBSR telah disemak semula bagi mengetahui kelemahan dan kekuatannya. Lanjutan daripada itu, KBSR yang dahulunya dikenali sebagai Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah ditukar menjadi Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.

a. Kurikulum

Berikut adalah perubahan-perubahan yang terdapat dari segi kurikulum:

1. 3 mata pelajaran baru telah diperkenalkan, iaitu

Kemahiran Hidup – menggantikan Amalan Perdagangan pada tahun 1984;

Sains; dan

KajianTempatan – menggantikan Alam dan Manusia pada tahun 1994.

Ketiga-tiga mata pelajaran ini bertujuan untuk membekalkan murid-murid sekolah rendah dengan ilmu, kemahiran dan nilai-nilai tertentu.

Di samping itu, menyedari mereka mengenai kepentingan bidang keusahawanan, kemanusiaan, alam sekitar dan sains.

2. Mata pelajaran – mata pelajaran sedia ada juga mengalami pembaharuan bagi membantu murid menghadapi cabaran masa hadapan:

Bahasa – kemahiran-kemahiran asas berbahasa dan tatabahasa ditegaskan bagi memudahkan penguasaan kemahiran-kemahiran seperti kemahiran belajar dan kemahiran berfikir.

Pendidikan Moral – Empat nilai murni ditambah kepada jumlah asal menjadikannya 16. Tujuan berbuat demikian adalah untuk menyelaraskan sukatan pelajaran Pendidikan Moral di peringkat rendah dan menengah;

Pendidikan Islam – Satu lagi bidang baru, Bidang Asas Akhlak Islamiah, ditambah kepada bidang-bidang sedia ada, iaitu Asuhan, Tilawah al-Quran dan Asas Ulum Sya’riah. Penambahan tersebut diperlukan bertujuan untuk menegaskan amalan nilai-nilai murni dalam kalangan murid-murid islam. Selain itu, pada tahun 1984, pelajaran Jawi dimasukkan dalam pelajaran Pendidikan Agama Islam mulai Tahun 3. Pada Disember 1990 pula, pelajaran Jawi diajar di Tahun 1;

Pendidikan Jasmani – Menyedari kepentingan unsur kesihatan dan kecergasan bagi mencapai kualiti hidup, maka mata pelajaran Pendidikan Jasmani diperkenalkan.

Penggunaan Sempoa – Bagi meningkatkan kecekapan murid berfikir dan mengira, sempoa diperkenalkan di Tahap 2.

b. Budaya Sekolah

Suasana Sekolah yang ceria, kondusif dan merangsang pembelajaran diwujudkan bagi tujuan menghasilakan murid-murid yang berkembang secara harmonis dan menyeleruh dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI);

2. Unsur Patriotisme diserap dalam semua mata pelajaran merentasi kurikulum bertujuan melahirkan warga negara yang cintakan negara dan bangga menjadi rakyat negara ini;

3. Unsur Kesepaduan yang telah dilaksanakan sejak Kurikulum Baru Sekolah Rendah melalui unsur penggabungjalinan dan penyerapan ditegaskan lagi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) melalui nilai, bahasa, sains dan teknologi merentasi kurikulum.






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...