PESANAN

SILA KLIK "JOINT THIS SITE" DI BAWAH DAHULU SEBELUM MENGAMBIL, MENCIPLAK DAN MENCETAK BAHAN2 NOTA DALAM BLOG INI. SEBARANG PERTANYAAN BOLEH BERHUBUNG DGN SAYA EMAIL : abjipkb@yahoo.com @ FB: Azizi Cyberspot

SILA ADD FOLOW DI BAWAH SEBELUM MENGAMBIL NOTA

Tuesday, 6 December 2011

MATLAMAT & OBJEKTIF PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Prasekolah merupakan pendidikan yang tidak formal dan fleksibel. Kaedah pembelajaran dan pengajarannya menggunakan pendekatan belajar melalui bermain. Aktiviti yang dirancang menitik beratkan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, bersepadu dan seimbang. Di samping menekankan aktiviti yang boleh merangsang naluri ingin tahu, mengukuhkan kordinasi motor kasar dan halus, menggunakan daya kreatif, memupuk semangat bekerjasama, sifat hormat-menghormati dan berdisplin bagi menyediakan mereka mengikuti pembelajaran dan pengajaran yang lebih formal di sekolah rendah.

Matlamat Pendidikan prasekolah adalah bertujuan untuk menyuburkan potensi murid dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah. Menyuburkan potensi murid dalam aspek perkembangan ialah merangkumi aspek Jasmani, Emosi, Rohani, Intelektual dan Sosial. Selain itu, menguasai kemahiran asas ialah kemahiran membaca, menulis dan menaakul. Kemahiran ini adalah kemahiran asas dalam pendidikan prasekolah yang juga dikenali sebagai 3M. Selain itu, memupuk sikap positif persediaan masuk ke sekolah rendah penting kerana kelas prasekolah juga adalah sebagai medium awal bagi memberikan kanak-kanak peluang, keseronokan dan melahirkan sikap positif untuk persediaan belajar di sekolah seterusnya memasuki tahun 1.

Objektif pendidikan prasekolah ialah mempunyai sifat peribadi, perwatakan dan konsep diri yang positif untuk menjadi warganegara yang patriotik.Ini penting kerana untuk melahirkan dan menyuburkan potensi diri secara menyeluruh sifat peribadi, perwatakan sangat penting untuk perkembangan murid pada tahap awal. Ini kerana murid prasekolah adalah ibarat kain putih yang akan di warnakan pada kain tersebut dan seterusnya menghasilkan warna-warna yang cantik atau tidak cantik. Oleh itu, perkembangan secara menyeluruh sangat penting untuk membentuk kanaka-kanak yang berkeperibadian yang tinggi.

Objektif kedua ialah menggunakan Bahasa Malaysia dengan betul dan memperkembangkan kemahiran berbahasa dan berkomunikasi. Bahasa Malaysia adalah bahasa perpaduan untuk semua kaum dan juga dikenali Bahasa Melayu dan ianya adalah satu kemahiran yang penting dalam komunikasi di kalangan masyarakat. Ketiga ialah menggunakan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kedua. Bahasa Inggeris adalah bahasa lain selain Bahasa Malaysia dan dianggap kedua terpenting dalam komunikasi. Keempat ialah mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian berasaskan ajaran agama.

Objektif kelima ialah mempunyai kemahiran kognitif untuk berfikir dan menyelesaikan masalah. Ini adalah perkembangan yang penting untuk kanak-kanak bagi melahirkan pemikiran yang kreatif dan kritis dalam menyelesaikan masalah. Keenam ialah mempunyai kematangan emosi dan kemahiran sosial. Ketujuh ialah mempratikkan amalan kesihatan dan keselamatan yang baik dan objektif yang terakhir ialah mempunyai daya kreativiti dan estetika untuk menghargai keindahan alam dan warisan budaya.

MENENTUKAN MATLAMAT DAN OBJEKTIF PRASEKOLAH

Di negara kita kebanyakan pusat-pusat prasekolah dijalankan oleh pelbagai agensi yang berbeza seperti agensi kerajaan KEMAS, FELDA, Jabatan Perpaduan, Prasekolah Kementerian Pelajaran dan swasta. Memandangkan pusat-pusat prasekolah ini dikendalikan oleh pihak-pihak yang berbeza maka dari segi matlamat dan objektif penubuhannya juga berbeza. Kepentingan kepada pengajaran 3M membuka mata masyarakat tentang pentingnya pendidikan di peringkat prasekolah. Ibu bapa berlumba-lumba memilih pusat prasekolah yang dapat memenuhi harapan dan kehendak mereka. Inilah yang mendorong munculnya pusat prasekolah seperti cendawan tumbuh pada masa sekarang. Pemilihan pusat prasekolah oleh ibu bapa adalah berlandaskan kualiti yang dimiliki oleh sesuatu pusat prasekolah yang menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak. Pusat prasekolah yang mempunyai matlamat dan objektif yang menepati kehendak dan harapan akan lebih menjadi tumpuan ibu bapa.

Terdapat pelbagai kualiti pusat prasekolah yang perlu difikirkan bersama-sama ada penubuhannya menepati matlamat dan objektif atau pun tidak. Di antara penemuan penubuhan pusat prasekolah adalah seperti berikut:

a) Ada sesetengah pengusaha pusat prasekolah tidak melaksanakan program mereka dengan bersungguh-sungguh.

b) Ada pula yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

c) Ada pengusaha pusat prasekolah hanya mementingkan akademik semata-mata

d) Ada pengusaha pusat prasekolah yang memberi penekanan kepada aspek sosialisasi kanak-kanak.

Sebagaimana Kementerian Pelajaran Malaysia, matlamat penubuhan pusat prasekolah secara umumnya adalah untuk memberi peluang yang sama kepada semua kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan pada umur seawal 4 tahun. Objektif dan matlamat pendidikan prasekolah menggambarkan harapan dan jangkaan yang perlu dicapai oleh kanak-kanak prasekolah. Di sini mari kita lihat apakah penentuan matlamat dan objektif pendidikan prasekolah yang telah dibentuk oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Pendidikan prasekolah bertujuan menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan untuk masuk ke tahun satu di sekolah rendah. Pendidikan prasekolah membolehkan kanak-kanak mencapai tujuan berikut:

a) Mempunyai sifat peribadi, perwatakan dan konsep kendiri yang positif yang menjadi warganegara yang patriotik;

b) Menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan memperkembangkan kemahiran bahasa untuk berkomunikasi;

c) Menggunakan bahasa Cina dan bahasa Tamil dengan betul untuk berkomunikasi di sekolah yang menggunakan bahasa pengantar bahasa Cina dan bahasa Tamil;

d) Menggunakan bahasa Inggeris dalam interaksi seharian selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kedua;

e) Mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid-murid beragama Islam;

f) Mengamalkan nilai-nilai murid dalam kehidupan seharian;

g) Mempunyai kemahiran kognitif, kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah;

h) Mempunyai kematangan emosi dan kemahiran sosial;

i) Mempunyai kecerdasan dan kemahiran fizikal serta mempraktikkan amalan kesihatan dan keselamatan yang baik;

j) Mempunyai daya kreatif dan estetika unuk menghargai keindahan alam dan warisan budaya.

Walau bagaimanapun secara umumnya apa yang perlu kita faham bahawa prasekolah merupakan tempat kanak-kanak mula belajar membiasakan diri dengan rakan sebaya dan orang dewasa. Di mana mereka berpeluang berinteraksi bersama rakan, meningkatkan kemahiran-kemahiran perkembangan menyeluruh mereka di samping meningkatkan keupayaan berkomunikasi. Peruntukan suatu alam persekitaran yang kaya dan menggalakkan potensi maksimum kanak-kanak ini boleh diwujudkan di pusat prasekolah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...