PESANAN

SILA KLIK "JOINT THIS SITE" DI BAWAH DAHULU SEBELUM MENGAMBIL, MENCIPLAK DAN MENCETAK BAHAN2 NOTA DALAM BLOG INI. SEBARANG PERTANYAAN BOLEH BERHUBUNG DGN SAYA EMAIL : abjipkb@yahoo.com @ FB: Azizi Cyberspot

SILA ADD FOLOW DI BAWAH SEBELUM MENGAMBIL NOTA

Sunday, 11 December 2011

PEMBENTUKAN DAN PELAKSANAAN KURIKULUM

10.0 PEMBENTUKAN DAN PELAKSANAAN KURIKULUM BERSEPADU SEKOLAH RENDAH (KBSR)

Bab ini memberi gambaran mengenai pembentukan dan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Terlebih dahulu, kita akan mengkaji mengenai pembentukan dan perubahan dalam kurikulum pendidikan rendah yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), serta berasaskan penetapan matlamat dan objektif pada tahap persekolahan tersebut. Kemudian, kita akan membincangkan pula proses pelaksanaan yang merangkumi aspek-aspek seperti prinsip, struktur, bidang pelajaran, penekanan, strategi pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan penilaian. Akhir sekali, kita akan melihat implikasi KBSR terhadap sistem pendidikan negara.

10.1 Pembentukan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)

Tahukah anda tentang sejarah pembentukan KBSR? Untuk pengetahuan anda, pada tahun 1982, KBSR telah dilaksanakan secara percubaan di 305 buah sekolah di seluruh Malaysia. Kemudian pada tahun berikutnya (1983), pelaksanaan penuh dikuatkuasa di semua sekolah rendah. Pernahkan anda terfikir apakah perbezaan KBSR dengan kurikulum lama?

Menyorot kembali latarbelakang penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sepertimana yang dijelaskan dalam bab sebelum ini, Jawatankuasa Kabinet telah member perhatian serius kepada pembangunan kemanusiaan. Tindakan untuk menterjemahkan perkara tersebut telah menjelma dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah seperti yang ternyata dalam huraian matlamat pendidikan sekolah rendah di bawah:

“…matlamat pendidikan rendah adalah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika sosial.”

(Kurikulum Baru Sekolah Rendah, 1991:5)

Seiring dengan matlamat tersebut, maka objektif-objektif pendidikan peringkat rendah juga merangkumi aspek-aspek seperti yang dinyatakan. Supaya murid-murid dapat:

· Menguasai Bahasa Melayu selaras dengan kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita;

· Menguasai kemahiran asas berbahasa, iaitu bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa pengantar sekolah berkenaan;

· Menguasai kemahiran asas mengira dan menggunakannya dalam kehidupan harian;

· Kuasai kemahiran berfikir dan belajar;

· Kuasai kemahiran saintifik dan teknikal;

· Bertutur, membaca, menulis dan memahami Bahasa Inggeris sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kedua;

· Menimba pengetahuan dan berikhtiar untuk meluaskannya;

· Kuasai kemahiran membaca, menghafaz dan memahami pengertian ayat-ayat al-Quran bagi murid-murid islam;

· Kukuhkan asas keimanan, kerjakan amal ibadat dan amalkan akhlak mulia;

· Amalkan sikap dan perlakuan yang berpandukan nilai murni serta menjadikannya asas bagi amalan hidup;

· Menjaga kesihatan dan kecergasan diri;

· Bentukkan daya kepimpinan dan keyakinan diri;

· Memahami dan peka terhadap manusia dan persekitaran;

· Kembangkan bakat dan kreativiti;

· Memupuk semangat patriotisme;

· Menikmati dan sertai aktiviti-aktiviti amal, kesenian dan rekreasi dalam lingkungan kebudayaan nasional.

Dengan itu, maka pada akhir persekolahan rendah nanti, adalah diharapkan agar murid-murid dapat menggunakan kemahiran bahasa dan matematik untuk berfikir, berkomunikasi dan menyelesaikan masalah. Selain itu, mereka juga akan dapat berfikir secara logik serta memahami isu-isu kemasyarakatan dan negara. Peluang-peluang juga disediakan untuk murid-murid mengembangkan potensi, bakat, minat dan daya kreatif mereka melalui muzik, lukisan dan penulisan.

Perubahan dalam KBSR

Namun pada tahun 1988, KBSR telah disemak semula bagi mengetahui kelemahan dan kekuatannya. Lanjutan daripada itu, KBSR yang dahulunya dikenali sebagai Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah ditukar menjadi Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.

a. Kurikulum

Berikut adalah perubahan-perubahan yang terdapat dari segi kurikulum:

1. 3 mata pelajaran baru telah diperkenalkan, iaitu

Kemahiran Hidup – menggantikan Amalan Perdagangan pada tahun 1984;

Sains; dan

KajianTempatan – menggantikan Alam dan Manusia pada tahun 1994.

Ketiga-tiga mata pelajaran ini bertujuan untuk membekalkan murid-murid sekolah rendah dengan ilmu, kemahiran dan nilai-nilai tertentu.

Di samping itu, menyedari mereka mengenai kepentingan bidang keusahawanan, kemanusiaan, alam sekitar dan sains.

2. Mata pelajaran – mata pelajaran sedia ada juga mengalami pembaharuan bagi membantu murid menghadapi cabaran masa hadapan:

Bahasa – kemahiran-kemahiran asas berbahasa dan tatabahasa ditegaskan bagi memudahkan penguasaan kemahiran-kemahiran seperti kemahiran belajar dan kemahiran berfikir.

Pendidikan Moral – Empat nilai murni ditambah kepada jumlah asal menjadikannya 16. Tujuan berbuat demikian adalah untuk menyelaraskan sukatan pelajaran Pendidikan Moral di peringkat rendah dan menengah;

Pendidikan Islam – Satu lagi bidang baru, Bidang Asas Akhlak Islamiah, ditambah kepada bidang-bidang sedia ada, iaitu Asuhan, Tilawah al-Quran dan Asas Ulum Sya’riah. Penambahan tersebut diperlukan bertujuan untuk menegaskan amalan nilai-nilai murni dalam kalangan murid-murid islam. Selain itu, pada tahun 1984, pelajaran Jawi dimasukkan dalam pelajaran Pendidikan Agama Islam mulai Tahun 3. Pada Disember 1990 pula, pelajaran Jawi diajar di Tahun 1;

Pendidikan Jasmani – Menyedari kepentingan unsur kesihatan dan kecergasan bagi mencapai kualiti hidup, maka mata pelajaran Pendidikan Jasmani diperkenalkan.

Penggunaan Sempoa – Bagi meningkatkan kecekapan murid berfikir dan mengira, sempoa diperkenalkan di Tahap 2.

b. Budaya Sekolah

1. Suasana Sekolah yang ceria, kondusif dan merangsang pembelajaran diwujudkan bagi tujuan menghasilakan murid-murid yang berkembang secara harmonis dan menyeleruh dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI);

2. Unsur Patriotisme diserap dalam semua mata pelajaran merentasi kurikulum bertujuan melahirkan warga negara yang cintakan negara dan bangga menjadi rakyat negara ini;

3. Unsur Kesepaduan yang telah dilaksanakan sejak Kurikulum Baru Sekolah Rendah melalui unsur penggabungjalinan dan penyerapan ditegaskan lagi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) melalui nilai, bahasa, sains dan teknologi merentasi kurikulum.

Prinsip 1: Pendekatan Bersepadu

Pendekatan bersepadu merupakan pendekatan di mana unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai digabung agar wujud kesepaduan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Secara ringkas, konsep bersepadu berlaku melalui empat cara, iaitu peggabungjalinan kemahiran, penyerapan, kesepaduan antara unsur dan unsur merentasi kurikulum.

1. Penggabungjalinan kemahiran:

· Dalam satu mata pelajaran. Misalnya: empat kemahiran utama bagi mata pelajaran bahasa ialah bertutur, mendengar, membaca dan menulis. Bagi satu sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P), hanya dua kemahiran (mendengar dan bertutur, atau mendengar dan menulis) digabungjalinkan;

· Antara mata pelajaran. Misalnya: aktiviti menyanyi digunakan dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

2. Penyerapan

· Pelbagai bidang ilmu dalam mata pelajaran dan merentasi mata pelajaran. Misalnya: unsur Matematik diserapkan dalam mata pelajaran Pendidikan Seni;

· Nilai dalam mata pelajaran. Misalnya: aspek kerjasama dan hormat-menghormati ditegaskan dlaam kerja kumpulan atau projek;

3. Kesepaduan antara duan unsur sama ada:

· Kurikulum dan kokurikulum. Misalnya: aktiviti kokurikulum (badan beruniform, kelab dan persatuan, sukan dan permainan) menjadi pelengkap kepada aktiviti kurikulum dalam bilik darjah;

· Pengetahuan dan amalan. Misalnya: ilmu yang diperoleh dalam bilik darjah boleh diaplikasikan dalam situasi kehidupan seharian di rumah, masyarakat dan sebagainya.

· Pengalaman sedia ada dengan pengalaman baru.

4. Unsur merentasi kurikulum

· Bahasa merentasi kurikulum;

· Alam sekitar merentasi kurikulum;

· Sains merentasi kurikulum;

· Kemahiran berfikir merentasi kurikulum; dan sebagainya.

Prinsip 2: Perkembangan Individu Secara Menyeluruh

Bagaimanakah prinsip ini dilaksanakan? Melalui semua mata pelajaran yang memainkan peranan penting bagi memenuhi keperluan jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) murid.

Menurut ahli psikologi, potensi potensi individu tidak boleh dikembangkan secara berasingan. Dengan kata lain, ini bermakna setiap potensi memang mempunyai hubungkait dengan potensi yang lain. Sebagai contoh, seorang murid yang berpotensi menjadi pemain bola sepak yang handal bukan sahaja perlu mengambangkan ilmu (cth; cara-cara bermain yang berkesan) dan kemahiran (cth: cekap dan tangkas) mengenai permainan tersebut, malahan murid ini jugak perlu dipupuk sifat kerjasama, mematuhi peraturan, berdisplin, berbakti untuk sekolah dan negara dan sebagainya.

Prinsip 3: Pendidikan Seumur Hidup

Sejak kebelakang ini, pendidikan seumur hidup seolah-olah menjadi slogan yang sentiasa dilaungkan. Tetapi, apakah maksud di sebaliknya? Ya, pendidikan diibaratkan sebagai satu usaha yang berterusan hingga akhir hayat. Ia bermula dari saat kita dilahirkan sehinga lah kita berada di liang lahat. Bak kata pepatah, manuntut ilmu biarlah sampai ke liang lahat. Dengan kata lain, proses pembelajaran berlaku secara berterusan dan tidak ada had dari segi jangka waktu. Oleh itu, tidak timbul satu keadaan di mana seseorang itu akan berhenti belajar. Setujukah anda? Jika ini benar, apakah perana sekolah?

Secara am, sekolah mempunyai dua peranan, iaitu:

i. Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sehubungan itu, maka KBSR membina asas bagi setiap murid dari segi pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk membolehkan mereka menghadapi situasi dalam kehidupan seharian. Apabila tamat persekolahan nanti, proses pendidikan tidak berhenti begitu sahaja. Di sebaliknya, setiap individu digalakkan untuk meneruskan proses pembelajaran masing-masing.

ii. sekolah juga boleh memupuk minat murid untuk terus mencari ilmu dan seterusnya member sumbangan kepada khazanah ilmu yang sedia ada. Usaha mencari ilmu memerlukan tabiat mahu mencari dan tahu mencari ilmu. Dalam hal ini, guru memainkan peranan penting dari segi menanam dan memupuk budaya ilmu dan budaya membaca dalam kalangan anak murid mereka.

Prinsip 4: Pendidikan Yang Sama Untuk Semua Murid

Bagaimanakah prinsip ini dilaksanakan? Perkara ini telah menjadi persoalan banyak pihak. Untuk pengetahuan semua, semua murid pada tahap persekolahan yang sama mengikuti kurikulum yang sama tanpa mengambilkira jenis aliran persekolahan, yang berbeza adalah bahasa pengantar sahaja.

B. Struktur KBSR

Secara umum, terdapat tiga bidang pelajaran dalam KBSR, iaitu:

· Bidang Komunikasi;

· Bidang Manusia dan Alam Keliling;

· Bidang Perkembangan Diri Individu.

C. Bidang Pembelajaran KBSR

Tiga bidang KBSR tersebut dibahagikan kepada enam komponen, iaitu:

· Kemahiran Asas;

· Kerohanian;

· Nilai dan Sikap;

· Kemahiran Hidup;

· Kesenian dan Kesihatan;

· Kokurikulum.

Bidang Komunikasi

· Komponen Kemahiran Asas;

· Memberi tumpuan kepada tiga asas (3M), iaitu membaca, menulis dan mengira;

· Merupakan tunggak kepada pendidikan asas di peringkat sekolah;

· Mata pelajaran yang terlibat dalam bidang ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Matematik. Kesemua mata pelajaran ini diajar pada Tahap 1 (Tahun 1 – 3) dan Tahap 2 (Tahun 4 – 6);

· Bahasa Melayu.

i. Berfungsi sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan alat komunikasi perpaduan rakyat.

ii. Pada Tahap 1, murid-murid berusaha untuk menguasai kemahiran asas seperti bertutur, mendengar, membaca dan menulis melalui pelbagai sumber ilmu.

iii. Pada Tahap 2, penekanan diberi kepada kemahiran belajar dan kemahiran berfikir melalui pelbagai kaedah seperti bacaan, penulisan dan perbincangan.

iv. Kesimpulannya, mata pelajaran Bahasa Melayu bertujuan untuk melahirkan murid yang berkebolehan berbahasa, menghargai serta menghayati bahasa tersebut sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu selaras dengan semangat Rukun Negara dan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

· Bahasa Inggeris.

i. Diajar sebagai bahasa kedua.

ii. Pada Tahap 1, , murid-murid berusaha untuk menguasai kemahiran asas seperti bertutur, mendengar, membaca dan menulis melalui pelbagai sumber ilmu.

iii. Pada Tahap 2, penekanan diberi kepada kemahiran belajar dan kemahiran berfikir melalui pelbagai kaedah seperti bacaan, penulisan dan perbincangan.

iv. Kesimpulannya, mata pelajaran Bahasa Inggeris bertujuan untuk melengkapkan murid dengan ilmu dan kemahiran asas dalam bahasa tersebut agar mereka berupaya berkomunikasi secara lisan atau bertulis di dalam atau di luar bilik darjah.

· Bahasa Cina.

i. Berfungsi sebagai alat komunikasi dalam situasi-situasi tertentu.

ii. Pada Tahap 1, , murid-murid berusaha untuk menguasai kemahiran asas seperti bertutur, mendengar, membaca dan menulis melalui pelbagai sumber ilmu.

iii. Pada Tahap 2, penekanan diberi kepada kemahiran belajar dan kemahiran berfikir melalui pelbagai kaedah seperti bacaan, penulisan dan perbincangan.

iv. Kesimpulannya, mata pelajaran Bahasa Cina bertujuan untuk memberi murid-murid peluang untuk menguasai kemahiran asas berbahasa dalam Bahasa Cina sama ada secara lisan atau bertulis.

· Bahasa Tamil.

i. Berfungsi sebagai alat komunikasi;

ii. Pada Tahap 1, murid-murid berusaha untuk menguasai kemahiran asas seperti bertutur, mendengar, membaca dan menulis melalui pelbagai sumber ilmu;

iii. Pada Tahap 2, penekanan diberi kepada kemahiran belajar dan kemahiran berfikir melalui pelbagai kaedah seperti bacaan, penulisan dan perbincangan;

iv. Kesimpulannya, mata pelajaran Bahasa Tamil bertujuan untuk menghasilkan murid yang berupaya berkomunikasi dalam Bahasa Tamil sama ada secara lisan atau tulisan.

· Matematik.

i. Mengandungi tiga komponen pembelajaran, iaitu Konsep, Bahasa dan Kemahiran Prosedur yang merentasi tiga bidang kemahiran, iaitu Nombor dan Operasi, Ukuran dan Sukatan serta Masalah Bercerita;

ii. Pada Tahap 1, murid-murid dibimbing untuk menguasai nombor, operasi asas (tambah, tolak, darab dan bahagi) dan fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi secara spontan;

iii. Manakala, pada Tahap 2 pula, penekanan diberi kepada penyelesaian masalah harian yang disediakan dalam bentuk cerita. Di sampng itu, murid-murid juga didedahkan kepada unit-unit ukuran dan sukatan, graf, purata, peratus dan pecahan serta perpuluhan;

iv. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) berfokus kepada beberapa aspek seperti kemahiran berfikir, asas penguasaan, perkembangan kognitif, kesepaduan, kemahiran pra syarat dan sokongan, dan gaya pembelajaran;

v. Kesimpulannya, mata pelajaran Matematik adalah bertujuan untuk membentuk dan meningkatkan kebolehan murid dari segi konsep nombor dan kemahiran mengira. Kebolehan tersebut dapat membantu murid dalam penyelesaian masalah harian secara berkesan dan berdisplin.

Bidang Manusia dan Alam Keliling

· Komponen Kerohanian, Nilai dan Sikap;

· Pada Tahap 1, mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral diajar di sekolah rendah.

· Pada Tahap 2, dua mata pelajaran yang lain ditambah, iaitu Sains dan Kajian Tempatan.

· Pendidikan Islam.

i. Mengandungi tiga bahagian seperti berikut:

a. Asuhan Tilawah Al-Quran – berfokuskan kepada aspek mengenal, menyebut, membaca, menulis huruf dan perkataan. Selain itu, ia juga menitikberatkan aspek membaca dan menghafaz serta mengetahui pengertian ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran.

b. Asas ‘Ulum Syar’iah – merangkumi tiga aspek:

§ Aqidah – menegaskan aspek keislaman dan keimanan melalui rukan iman dan rukun islam;

§ Ibarat – menekankan aspek ibadat dan amalan secara berterusan;

§ Sirah Rasulullah S.A.W – menekankan sirah dan contoh yang dijadikan iktibar dan contoh dalam kehidupan seharian.

c. Asas Akhlak Islamiah – berfokuskan kepada pembentukan peribadi murid agar berupaya menghayati akhlak dan tingkahlaku muslim yang mukmin.

ii. Kesimpulannya, mata pelajaran Pendidikan Islam bertujuan untuk membentuk dan meningkatkan bakat dan potensi murid agar menjadi individu yang berilmu, beriman, beramal soleh, berakhlak mulia dan bertanggungjawab.

· Pendidikan Moral.

i. Mengandungi 16 nillai yang berasaskan agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum etnik di negara ini selaras dengan nilai murni sawarjagat dan prinsip-prinsip Rukunnegara.

ii. Nilai yang sama diajar pada tiap-tiap tahun persekolahan. Akan tetapi, isi kandungan dan penekanan berbeza sejajar dengan tahap perkembangan dan kematangan murid. Sebagai contoh, pengajaran dan pembelajaran (P&P) berasaskan isu dan situasi yang berkaitan dengan murid itu sendiri serta kehidupan sehariannya.

iii. Pada tahap 2 pula, konteks isu dan situasi dikembangkan untuk meliputi institusi masyarakat, negara dan antarabangsa. Oleh itu, murid digalakkan untuk berfikir, berbincang dan membuat keputusan berhubung dengan isu moral yang timbul dalam situasi kehidupan seharian.

iv. Kesimpulannya, mata pelajaran Pendidikan Moral bertujuan untuk membentuk individu yang mempunyai budi pekerti yang mulia dan bertanggungjawab melalui pemupukan, penghayatan dan amalan nilai murni.

· Sains.

i. Terdiri daripada dua perspektif, iaitu:

a. Bidang keilmuan – membekalkan rangka konsep agar murid dapat memahami alam sekeliling, berupaya menggabungkan fakta dan konsep dalam kehidupan seharian dan mencari perkaitan antara ilmu baru dengan yang sedia ada;

b. Kaedah inkuiri dan penyelesaian masalah – mengembangkan kemahiran menyiasat alam sekeliing, menggalakkan sifat ingin tahu, kreativiti, berfikiran terbuka, ketahanan diri (fizikal dan mental).

ii. Secara pelaksanaan, pada Tahap 1, unsur Sains disepadukan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa dan Matematik dalam modul-modul yang disediakan. Manakala pada Tahap 2 pula, aspek-aspek seperti di bawah diberi penekanan:

a. Pengalaman eksperiential;

b. Pendekatan inkuri;

c. Kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir;

d. Aplikasi prinsip sains;

e. Penerapan nilai intrinsik sains dan nilai murni.

iii. Kesimpulannya, mata pelajaran Sains bertujuan untuk melahirkan individu yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia ke arah pembentukan masyarakat berbudaya Sains dan Teknologi, dinamik dan progresif.

· Kajian Tempatan.

i. Merupakan tunggak utama bagi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid. Di samping itu, dapat memupuk kemahiran sosial, kemahiran belajar dan kemahiran berfikir dalam kalangan murid.

ii. Pada Tahap 1, unsur-unsur Kajian Tempatan disepadukan mata pelajaran Bahasa. Manakala pada Tahap 2 pula, mata pelajaran ini diajar sebagai satu pelajaran yang berasingan.

iii. Kesimpulannya, mata pelajaran Kajian Tempatan bertujuan untuk melahirkan murid yang taat dan setia kepada negara, cintakan tanah air, bangga menjadi rakyat dan sanggup berkorban demi mempertahankan bangsa dan negara.

Bidang Perkembangan Diri Individu

· Komponen Kemahiran Hidup, Kesenian dan Kesihatan.

· Bertujuan untuk meningkatkan lagi kemahiran dalam aspek kemahiran hidup dan penghayatan kesenian dan kesihatan.

· Antara mata pelajaran yang terkandung dalam komonen termasuk Kemahiran Hidup, Pendidikan Seni, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

· Kemahiran Hidup.

i. Berfokus kepada pembelajaran esperiential.

ii. Murid-murid belajar cara menggunakan alatan, perkakas dan mesin tertentu semasa mengikuti latihan amali yang dikendalikan. Dalam hal ini, empat tajuk utama dititkberatkan seperti berikut:

a. Merekacipta;

b. Mengurus diri dan kerja;

c. Mengusahaniaga barang;

d. Menyenggara dan membaiki kerosakan kecil.

iii. Kesimpulannya, mata pelajaran Kemahiran Hidup bertujuan untuk memberi murid peluang memperoleh ilmu berasaskan teknologi, kemahiran praktis asas, keusahawanan dan pengurusan diri termasuk keselamatan diri, mengurus wang, masa dan kerja dengan berkesan dan sebagainya.

· Pendidikan Seni.

i. Melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni yang mencakupi tiga aspek seperti berikut:

a. Pemerhatian yang aktif dan terperinci;

b. Interaksi yang inovatif dan kreatif dengan alat dan bahan;

c. Penghayatan karya seni dan alam sekitar.

ii. Untuk mencapai tujuan di atas, sukatan pelajaran diatur untuk member fokus kepada empat kajian berikut:

a. Melukis dan membuat gambar;

b. Membuat rekaan corak;

c. Membentuk dan membuat binaan;

d. Mengenal kraf tradisional.

iii. Pada Tahap 1, kegiatan seni dijalankan secara spontan dan tidak terbatas agar mengembangkan daya imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri murid.

iv. Pada Tahap 2, tumpuan diberi kepada peningkatan pengetahuan serta kemahiran seni.

v. Kesimpulannya, mata pelajaran Pendidikan Seni bertujuan untuk menyemai asas kesenian bagi menghasilkan individu yang kreatif, inovatif, produktif, prihatin terhadap nilai-nilai seni dan estetik dalam kehidupan, alam sekitar dan sebagainya.

· Pendidikan Muzik.

i. Skop kurikulum berbentuk asas dan umum dengan fokus kepada latihan amali yang menyeronokkan. Untuk itu, maka kandungan kurikulum merangkumi tiga bidang seperti berikut:

a. Nyanyian;

b. Muzik dan Gerakan;

c. Permainan Alat Muzik;

ii. Pada Tahap 1, murid didedahkan kepada kemahiran dan konsep asas muzik secara tidak langsung. Pada Tahap 2, ilmu dan kemahiran mereka akan ditingkatkan melalui aktiviti membaca dan menulis muzik.

iii. Kesimpulannya, mata pelajaran Pendidikan Muzik bertujuan untuk mengembangkan bakat dan nilai estetika murid melalui pelbagai pengalaman muzik.

· Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

i. Menitikberatkan unsur sihat dan aktif.

ii. Sukatan pelajaran mencakupi tiga aspek utama, iaitu:

a. Penglibatan yang aktif dan selamat;

b. Interaksi yang berkesan dengan rakan sebaya, alat dan bahan;

c. Dokumentasi dan penyimpanan rekod penglibatan murid.

iii. Untuk itu, maka kandungan mata pelajaran tersebut disusun untuk meliputi empat tajuk seperti yang berikut:

a. Perkembangan Fizikal dan Pergerakan;

b. Sukan dan Rekreasi;

c. Jagaan Keselamatan;

d. Jagaan dan Sayangi Diri Sendiri.

iv. Pada Tahap 1, mata pelajaran tersebut diajar secara bersepadu. Seperti contoh, Pendidikan Pergerakan merupakan sebahagian daripada tajuk utama Mari Bergerak.

v. Pada Tahap 2 pula, fokus diberi kepada kemahiran asas, permainan, olahraga dan pendidikan pergerakan.

vi. Kesimpulannya, mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan bertujuan untuk menghasilkan murid yang aktif dan berilmu melalui pengajaran kemahiran dan penyemaian nilai dan amalan gaya hidup sihat dan cergas.

· Kokurikulum

i. Merupakan pembelajaran yang dilaksanakan di luar jadual waktu persekolahan dan berasaskan gerakerja yang terancang. Merangkumi tiga aspek, iaitu:

a. Pasukan berpakaian seragam, cth: Pengakap, Bulan Sabit Merah dan sebagainya;

b. Persatuan atau Kelab, cth: Persatuan Landskap, Kelab Kewartawanan dan sebagainya;

c. Sukan dan Permainan, cth: Olahraga, Hoki dan lain-lain.

ii. Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum bertujuan untuk menghasilkan individu yang berdisplin, bekerjasama, penyayang dan mempunyai keyakinan diri serta daya kepimpinan demi keluarga, masyarakat dan negara.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...